Friday, February 24, 2012

Kontroversi Gambar Whitney dan Barang Kemas



‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ dan mungkin pepatah Melayu itu sesuai untuk menggambarkan mendiang Whitney Houston yang meninggal dunia serta mengejutkan jutaan peminatnya di seluruh dunia baru-baru ini.
Kecoh di dada-dada akhbar antarabangsa mengenai gambar terakhir mayat Whitney di dalam keranda yang berwarna keemasan yang telah berjaya dirakam oleh media, National Enquirer, sebelum disemadikan di sisi ayahnya.
Menghangatkan lagi perbualan mengenai pengkebumian penyanyi wanita berkulit hitam itu, beliau dilaporkan dikebumikan dengan memakai pakaian kegemarannya yang berwarna ungu, berselipar emas dan berserta barang-barang kemas bernilai hampir setengah juta ringgit!
Bagaimanapun, ramai pihak khususnya keluarga dan kenalan rapat penyanyi popular itu yang marah terhadap media tersebut yang menyiarkan gambar Whitney itu dan tindakan tersebut dianggap sebagai kurang sopan dan biadap.
“Saya amat marah, kecewa, sama seperti keluarga, sama seperti peminat..kami tak suka kerana ia sangat memalukan. Whitney adalah kawan saya dan keluarga saya. Kami takkan buat begitu,” ujar pemilik rumah pengkebumian, Carolyn Whigham, yang dipetik dari Washington Post.
Namun, pendapat itu turut disanggah beberapa editor media yang mempertahankan tindakan penyiaran gambar terakhir Whitney itu dengan memberikan contoh gambar bekas Presiden Libya, Muammar Gaddafi, yang disiarkan secara meluas oleh media di seluruh dunia.
“Dengan gambar-gambar yang memenuhi ruang internet hari ini, adalah amat pelik sekiranya ia tidak menarik perhatian para editor. Editor itu akan dianggap gagal menjadi editor yang baik sekiranya tidak menyiarkan gambar kematian Muammar Gaddafi,” kata editor The Guardian, Roy Greensdale.
Sebenarnya, penulis langsung tidak bimbang tentang gambar Whitney yang disiarkan media dan biarlah disiarkan kerana dipercayai tindakan tersebut tidak akan sedikit pun menjejaskan mendiang.
Penulis lebih risau mengenai laporan media tentang barang-barang kemas yang dipakai dan dikebumikan bersama mayat Whitney yang dianggarkan bernilai RM452,360.
Sekiranya tidak diupah mana-mana pengawal keselamatan, sudah tentu ada pula pihak yang bertungkus lumus cari cangkul untuk mengorek kembali kubur Whitney semata-mata untuk bergelar ‘orang kaya segera’, siapa tahu?

kredit

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...