Thursday, February 16, 2012

Karim patut diadili.

SHAH ALAM - Setelah didesak hebat, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya ditubuhkan satu jawatankuasa siasatan khas bagi mencari kebenaran tuduhan yang dilemparkan terhadap timbalannya, Datuk Karim Ibrahim.
Menurut Shahidan, Karim tetap akan bertugas seperti biasa sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
Turut diwujudkan adalah jawatankuasa bagi menyiasat punca kegagalan atlet 4X400m, Mohd. Yunus Lasaleh dalam ujian doping ketika Sukan SEA Indonesia tahun lalu.
Jawatankuasa doping akan dipengerusikan Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai manakala jawatankuasa siasatan kes Karim pula dikepalai seorang bekas hakim mahkamah tinggi yang bagaimanapun tidak dinyatakan identitinya oleh Shahidan.
Isnin lalu, satu petisyen yang ditandatangani seramai 58 individu - 16 jurulatih dan 42 atlet telah diserahkan kepada Shahidan, meminta agar Karim disingkirkan.
"Saya telah mengambil kira ketidakpuasan hati semua pihak dengan menubuhkan jawatan kuasa siasatan ini. Siasatan terperinci akan menentukan sama ada Karim salah atau tidak, bukan pemberita. Kita kena adil, Karim patut diadili secara saksama.
"Kita akan juga memanggil doktor yang terbabit (doktor yang didakwa mempriskripsi pil pelbagai warna dan menyuntik Yunus) untuk menghadiri dan membantu pendengaran kes nanti
"Mereka yang bersalah akan dihukum, tak kira siapa pun. KOM berharap segala-galanya akan dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu," kata Shahidan yang ditemui pemberita di Hotel Holiday Inn di sini, semalam.
Beliau sebelum itu menghadiri perjumpaan dengan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi dan beberapa pegawai Institut Sukan Negara (ISN) bagi membincangkan isu Yunus yang ujian sampel B telah disahkan positif oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc).
Karim yang turut kelihatan di situ, ketika dihampiri pemberita enggan mengulas lanjut.
Dia sebaliknya hanya berkata: "Saya tidak mahu mengulas apa- apa. Saya menyerahkan hal ini kepada pasukan perundangan saya."





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...