KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu merujuk kepada badan induk sukan itu di peringkat antarabangsa sebelum menjatuhkan sebarang hukuman berikutan sampel air kencing B salah seorang atlet kuartet 4x400 meter negara disahkan positif dadah, kelmarin.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, pihaknya telah pun menerima laporan rasmi daripada Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Indonesia (Inasoc) yang menghantar keputusan penuh makmal menerusi emel, kelmarin.
“Keputusan telah pun kita perolehi, jadi selepas ini terpulang kepada KOM untuk menentukan bentuk hukuman yang mana saya difahamkan atlet berkenaan boleh dikenakan penggantungan minimum selama dua tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Ini bermakna atlet olahraga terbabit, Mohd. Yunus Lasaleh berdepan hukuman penggantungan - minimum sekurang-kurangnya dua tahun oleh KOM selepas dia disahkan mengambil dadah jenis Metandienone Metabolite yang berfungsi untuk membesarkan otot-otot tubuh.
“Bagaimanapun, KOM perlu berhati-hati menjatuhkan hukuman kerana badan induk olahraga antarabangsa serta Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) boleh mengemukakan bantahan jika hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan atlet,” tegas Kok Chi.
Kok Chi mengulas mengenai isu tersebut selepas mengambil kira kes yang menimpa atlet menembak negara, Bibiana Ng pada 2007 yang gagal melepasi ujian doping dan mendakwa terdapat dalang yang cuba menganiayai penembak berkenaan.
Ekoran perakuan Bibiana itu bersama dua rakan sepasukan, jelas Kok Chi, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) telah membuat pertimbangan sendiri dan sekadar memberi amaran kepada atlet berkenaan.
“Namun, keputusan itu tidak dipersetujui oleh badan induk antarabangsa dan juga WADA, lalu membawa kes tersebut ke mahkamah timbang tara dan Bibiana dikenakan penggantungan selama dua tahun,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata, bagi menangani kes atlet olahraga itu yang turut mendakwa dia dianiaya, KOM perlu bijak untuk membuat keputusan agar hukuman yang dikenakan nanti tidak menerima bantahan daripada pihak antarabangsa termasuk WADA sendiri.
Mengulas dakwaan terdapat campur tangan pihak ketiga yang mengarahkan atlet itu diberi ubat serta suntikan, Kok Chi memberitahu, satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut dan atlet berkenaan juga perlu mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong dakwaannya itu.
No comments:
Post a Comment