KUALA LUMPUR – Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi mengorek sehingga ke akar umbi punca sebenar atlet lelakinya, Firdaus Razak gagal ujian doping.
Presidennya, Zafarul Akbar Kassim mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi sampel B yang ditunggu sekian lama daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.
“Selepas lama menunggu, saya akhirnya dihubungi MOM bahawa laporan rasmi ujian yang dijalankan Inasoc (Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia) telah diperolehi.
“Keputusannya adalah positif, sama dengan sampel A,” katanya ketika dihubungi semalam.
Berikutan perkembangan itu, kata Zafarul, kes membabitkan Firdaus akan dirujuk kepada biro disiplin yang diketuai Zainuddin Rashidi untuk tindakan selanjutnya.
“PABM akan mengeluarkan notis kepada tertuduh (Firdaus) esok (hari ini) untuk menghadap jawatankuasa siasatan.
“Saya selaku penasihat biro disiplin akan terlibat secara langsung dalam siasatan ini, kami mahu mendengar sendiri penjelasan tertuduh.
“Ia tidak sepatutnya semudah dengan hanya menghukum atlet itu dan isu berakhir.
“Lebih penting, kami mahu mencari bagaimana dan dari mana ia bermula, siapakah lagi yang terlibat sebab ada kemungkinan jurulatih menjadi dalang,” tegasnya.
Tambah Zafarul, jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan akan dianggotai seorang dua pemerhati luar bagi memastikan hasil siasatan adalah telus.
Berhubung calon pemerhati luar, PABM bercadang menjemput wakil daripada MOM.
Zafarul yakin siasatan akan dapat dilengkapkan seawal-awalnya dua minggu.
No comments:
Post a Comment