Thursday, February 16, 2012

2 lelaki ditahan akibat dadah

SHAH ALAM – Polis berjaya  menggagalkan urus niaga dadah jenis heroin  bernilai hampir RM1 juta selepas menahan dua  lelaki tempatan dalam serbuan di tempat letak  kereta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ulu  Bernam, Kuala Kubu Baru dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3.45 petang itu,  polis turut menemui sebuah beg mengandungi  lima bungkusan plastik yang disyaki dadah heroin  seberat 2.27 kilogram bernilai RM800,000 di  dalam kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra  yang dinaiki kedua-dua suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)  Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir  berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan  anggota dan pegawai JSJN Selangor hasil  maklumat serta risikan pihaknya.
Beliau berkata, semasa serbuan kedua-dua  suspek yang merupakan anggota sindiket  pengedaran dadah di Lembah Klang dipercayai  sedang menunggu
pelanggan mereka.
“Ketika ditahan kedua-dua suspek cuba melarikan  diri dengan kenderaan jenis Naza Citra mereka  tetapi gagal. Hasil pemeriksaan di dalam Naza  Citra tersebut, kita menemui dadah heroin  seberat 2.27 kilogram yang disimpan di dalam beg  warna hitam dan diletakkan di tempat letak kaki  penumpang.
“Dadah heroin tersebut boleh diproses menjadi  80,000 tiub kecil dan para pengedar terlibat boleh  mendapat keuntungan jualan sehingga  RM800,000 dengan setiap tiub dijual dengan  harga RM10,” kata Nordin kepada pemberita di  sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berusia 26  tahun hingga 28 tahun dan salah seorang  daripadanya mempunyai rekod jenayah kini  ditahan reman selama tujuh hari bermula  semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 39B  Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam satu lagi kes berasingan kata Nordin, dua  lelaki tempatan yang sedang berjalan kaki  berhampiran sebuah restoran di Jalan Persiaran,  Batu 3 di sini diberkas selepas didapati membawa  beg berisi tiga bungkusan ganja seberat 2.84  kilogram bernilai hampir RM20,000 semalam.
Kata beliau, kedua-dua suspek yang berusia 35  tahun dan 37 tahun diberkas kira-kira pukul 12.30  tengah malam hasil risikan pihaknya.
“Kita masih menyiasat kes ini mengikut Seksyen  39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua  suspek yang salah seorang daripadanya bekerja  sebagai pemandu lori kini ditahan reman selama  seminggu,” kata beliau.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...