Sunday, January 22, 2012

67 Tahun Berpisah! – Kembar Bertemu Kembali


67 Tahun Berpisah! - Kembar Bertemu Kembali


BATU PAHAT – Setelah berpuluh-puluh tahun berusaha menjejaki kembarnya, doa Walitah Sawiyan, 70, akhirnya dimakbulkan apabila berjaya menemui kembarnya.
Walitah yang berasal dari Indonesia telah berusaha bersungguh-sungguh mencari kembarnya, Walitih, tetapi hampir berputus asa setelah tiada juga tanda-tanda yang dia akan berjumpa kembarnya.
”Saya sudah bertekad, jika tak jumpa juga dengan kembar saya, Walitih, inilah kali terakhir saya mencarinya. Saya akan pulang ke Indonesia dan terus tinggal di sana. Kiranya saya sudah putus asa,” kata Walitah.
Namun, kuasa dan takdir Tuhan pada 4 Januari lalu ketika sedang menunggu feri di Jeti Kukup, Pontian, untuk pulang semula ke Tembilahan, Sumatera, Walitah telah ditegur oleh seorang wanita yang tidak dikenali.
Wanita terbabit menegur Walitah kerana beranggapan dia adalah jirannya di Batu Pahat.
”Orang itu tegur saya kerana menyangka saya jirannya di Batu Pahat,” katanya.
Lalu, Walitah terus mengajak wanita terbabit untuk membawanya bertemu dengan jirannya.
”Hati saya melonjak-lonjak mahu dibawa bertemu dengan jirannya. Tiba di sana, memang benarlah. Dialah Walitih yang saya cari-cari selama ini, malah saya pun sudah hampir berputus asa untuk mencarinya lagi,” kata Walitah sambil mengesat air mata.
Walitah bersyukur kerana usaha dan doanya dimakbulkan Tuhan meski pun dia hampir putus asa untuk menjejaki kembarnya.
Dalam pada itu, Walitih pula tidak banyak bercakap ketika pertemuan tersebut dan hanya melayan perasaannya.
Menceritakan detik perpisahan mereka, Walitah berkata, dia diserahkan kepada keluarga angkat yang kemudian membawanya ke Sumatera untuk menyelamatkan diri daripada serangan tentera Jepun ke atas Malaya.
”Walitih pula diserahkan kepada keluarga angkat yang lain. Dia terus tinggal di kampung halaman kami, Kampung Parit Jorak Senawi, Batu Pahat,” katanya.
Walau berjauhan, Walitah sejak itu tidak pernah melupakan adik beradiknya lima orang yang terpisah jauh.
Walitah memberitahu, usaha mencari Walitih sememangnya sukar memandangkan Walitih tidak lagi menggunakan namanya yang sebenar, sebaliknya telah pun menggunakan nama yang baru iaitu Patimah Ijap.
Setelah bertemu semula dengan kembarnya, Walitah melahirkan hasratnya tidak mahu lagi pulang ke Indonesia dan mahu menetap di sini bersama kembarnya dek kerana tidak sanggup lagi terpisah jauh.
Sehubungan itu, kata Walitah, dia berharap ada pihak yang dapat membantu memakbulkan satu lagi hajatnya iaitu menjadi warga Malaysia bagi membolehkan dia menetap di sini.
Oleh: NAIMAH SHAARI
Foto : SinarHarian

Sumber : http://mynewshub.my


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...